Hari ini dia kelelahan lagi. Kelelahan kerana rasa itu yang tunda menunda di dalam hati.
Suatu bunga rasa yang merobek tangkai jiwa, mencarik-carik segumpal
daging bernama hati menjadi cebisan-cebisan kecil. Lantas luka itu
dicurah dengan air laut, sungguh pedih, sungguh resah, sungguh lelah!
Entah kali ke berapa rasa itu menyeksa nalurinya. Sungguh galau.
Mengapa begini? Hairan sungguh. Seingatnya, dia tidak pernah begini.
Rasa itu tidak pernah menyinggah hatinya. Alangkah begininya perasaan
itu. Alangkah! Mungkin kecewa dengan diri, atau mungkin sebenarnya
lebih dari itu, bahagia dengan kuntuman rindu dan penuh harap.
Ah! Akhi itu benar-benar membuatnya cemas dan tewas. Dia tidak
pernah berperasaan begini seingatnya. Sudahnya, dia hanya diam sahaja.
Biarlah rasa itu dia simpan kemas sendiri. Sekejap. Erat. Hanya antara
dia dan Allah S.W.T. Dan pada setangkai doa yang diraut, diadu, diratap
di hadapan Allah S.W.T dalam lena dan dalam jaga.
BULAN BERUBAH WARNA
Hari itu dia kesiangan. 7.30 pagi! Belum pernah dia bangun untuk
solat Subuh selewat itu. Dalam penyesalan dan istighfar dia meraup
mukanya, lantas mengatur langkah ke bilik air.
"Ya Allah, apa sudah jadi ni." bisik hati kecilnya.
Pagi itu, akhirnya Mardhiyyah mengangkat takbir dengan hati yang
sebal dan penuh persoalan. Kenapa boleh jadi begini? Biasanya dialah
orang pertama yang akan bangun bertahajjud, seterusnya mengejutkan
teman sebiliknya, lantas berjemaah di surau kolej. Kebetulan pula Aina
Fasihah menghadiri seminar tiga hari di JAKIM, dan Nurin uzur syar'ie.
"Erm.. terlewat bangun ke? Maaf tak kejut. Biasanya awak bangun awal." Nurin menggosok-gosok matanya.
"Eh, tak mengapa, bukan salah Nurin. Mungkin sebab tidur lewat semalam." suara Mardhiyyah kedengaran lemah.
Selebihnya dia bermonolog sendirian dalam diam.
Ya Allah, mungkinkah disebabkan sebelum tidur tadi aku teringatkan Fawwaz dan tidak mengingati dan menyebut nama-Mu?
Dan aku terlupa membaca al-Mulk. Ya Allah, maafkan aku.
Bagaimana dengan solat Tahajudku?
Semenjak hayat kedewasaanku ini, sudah jarang aku meninggalkan solat malam.
Memang semalam dia teringatkan Fawwaz sebelum tidur. Biasanya
sebelum tidur dia akan membaca al-Mulk dan membaca doa-doa serta
surah-surah pendek sebagai pendinding diri. Namun pulang sahaja dari 'meeting'
semalam, sekitar jam 11.45 malam, khusus membincangkan tentang gerak
kerja Pilihan Raya Kampus yang bakal menjelang, dia merasa sungguh
letih.
Letihnya di tahap luar biasa, dengan kuliah dan tutorial seawal jam
lapan pagi. Juga letih serta lelah malah sakit mencengkam lubuk jiwa.
Mengapa dalam 'meeting' itu dia harus juga hadir!
Usai sampai ke bilik, dia menghenyakkan tubuhnya ke katil. Sungguh
penat dan lelah. Namun Mardhiyyah tersenyum jua. Memandang wajah akhi
itu mendatangkan ketenangan ke lubuk jiwanya yang terdalam.
"Sudah dua hari aku tercari-cari wajahnya. Mungkin jodoh aku bertemunya malam ini."
Sudahnya, dia mengambil mp3 playernya dan menyumbatnya ke telinga. Biasanya tangan mulusnya akan dipetik ke 'folder' bacaan al-Quran. Itu yang biasa dilakukan jika dia tidak dapat melelapkan mata.
Menghayati bacaan Syeikh Saad Sa'id Al-Ghamidy atau As-Sudaisy yang menggetarkan dan mengharukan itu, juga Qari 'favourite'nya,
Syeikh Tawfeqh As-Sayegh; terkadang dia turut larut tenggelam dalam
bacaan bersama linangan air mata. Atau sekadar melayani celoteh DJ
stesen radio pilihannya, IKIM.fm, dengan info dan tazkirah penyubur
jiwa.
Tetapi, tangannya terhenti pada lagu itu. Albi Nadak. Bayangan
Fawwaz dalam meeting itu menerpa kembali. Seperti biasa, dengan
kewibawaannya berhujah dan memberi pendapat. Belum dikira renungan dan
senyuman spontannya.
Lik
Ana milkilik.......
Alangkah indahnya andai dia
menjadi milikku. Dan aku akan mempunyai seorang mujahid yang akan
sama-sama berjuang bersamaku. Akanku kuatkannya tika dia goyah, dan
pastinya dia akan selalu membisikkan kata-kata perjuangan buat membakar
semangatku.
Akan kulahirkan tunas-tunas comel yang akan mewarisi perjuangan kami,
bahkan sebenarnya merupakan rintisan perjuangan Baginda S.A.W.
Akan kusayangi dia sepenuh jiwa dan ragaku. Kerana pasti aku yang
akan merasa pedihnya kehilangan insan sepertinya. Akanku sedaya upaya
cuba untuk menghadiahkan 'solehah'ku padanya, agar sejuk mata hatinya dalam bahtera rumahtangga kami. Tentu sekali aku kan bahagia.
Mana mungkin aku tidak akan bahagia. Peribadinya cukup meyenangkan.
Senyumannya cukup mendamaikan. Penampilannya sederhana dan memikat
kalbu. Sentiasa tawadhuk. Paling aku terpikat pada karakternya yang
nampak serius di luar. Namun sebenarnya boleh tahan kelakar.
Dan paling mengharukan, dia seorang Hafiz! Apa lagi yang diperlukan
dari seorang peribadi bernama Fawwaz. Pendek kata, aku tidak sanggup
untuk mencintai orang lain selain darinya. Sungguh hatiku bernyanyi
begitu."
Dan nyanyian jiwanya yang sarat itu berlagu-lagu di dalam lenanya
tanpa dakapan al-Mulk dan tiga Qul, tanpa selimut air wudhuk dan tanpa
sinar Qiamullail.
WAHAI JIWAKU YANG TENANG!
Pagi sehening itu, Mardhiyyah mengatur langkah ke surau kolej. Di
saat ini hatinya sudah tidak keruan lagi. Kalau ditoreh dengan belati
tentu sudah tidak berdarah lagi. Kalau dihempap dengan gunung pun entah
bagaimana halnya. Yang ada di fikirannya adalah dia. Hanya dia.
"Ya Allah, aku rindukan dirinya. Aku inginkan dirinya untukku. Betapa beratnya perasaan ini Ya Allah."
Dalam sedu sedan istikharah penuh harap, Mardhiyyah mengadu pada
Ilahi Rabbi. Air matanya bercucuran merindukan akhi itu. Sudah lama dia
tidak melihat Fawwaz. Mengikut cerita teman-teman, dia pulang ke
kampung.
Ah, mengapa ramai benar yang suka bercakap tentangnya. Jika namanya
terluncur di bibir akhi lain, hatinya bergetar hebat, dan saat namanya
disebut di kalangan sahabat muslimatnya, hatinya sungguh hancur dan
resah.
Mengapa ramai benar yang menyukainya?
Dia berjalan longlai. Usai mandi pagi itu, dia terus mengatur
langkah ke surau. Masih awal rupanya. Waktu Subuh belum tiba. Suara
unggas-unggas sungguh hening dan hiba, sehiba hatinya yang kerinduan.
Sebelum ini, kerap juga dia terserempak dengan akhi itu di hening Subuh
begini. Berpapasan ke surau.
Di kala begitu, dia melambatkan langkah, biar saja akhi itu
mendahuluinya. Ataupun mana-mana muslimin lain. Tidak pantas seorang
muslimat untuk berjalan dan buru-buru di hadapan lelaki ajnabi.
Biar saja mereka berjalan dulu. Itu lebih afdhal. Seperti halnya
yang dilakukan Nabi Musa saat berjalan bersama Shafra yang menjemputnya.
Sesampai di surau, ternyata tiada siapa-siapa. Tiada sahabat
muslimin apatah lagi muslimat. Hatinya terasa sunyi dan pilu,
sepertimana sunyinya keadaan surau di waktu fajar itu. Dia masuk dan
lantas mengambil senaskah al-Quran, lalu duduk bersimpuh.
Mardhiyyah memeluk al-Quran itu lantas menciumnya. Matanya terasa
panas dan hangat. Dia membuka al-Quran untuk mencari petunjuk. Awal
pagi sebelum tidur semula tadi dia usai solat istikharah. Hatinya
berkecamuk kerana tiada petanda.
Mungkinkah hatinya sungguh berkarat dan berlumut, lalu Allah memberi hijab?
Air matanya tumpah. Mengapa murah benar air matanya dua tiga hari
ini? Mungkin rindu sungguh. Ah, sungguh penasaran. Hati yang sungguh
berkecamuk dan diadun seribu satu rasa. Lantas dia teringat pada
coretan ringkas yang dibuat di hujung nota Falsafah Islam semalam.
Dua tiga hari ini aku tidak melihatmu. Di mana-mana kucari wajahmu. Namun kau tiada.
Di mana dirimu?
Bagaimana keadaanmu?
Lalu aku melalui jalan-jalan kerinduan nan hiba namun kau tiada jua.
Allah sampaikan perasaan ini pada dia. Harapanku, semoga benar aku dari
rusuknya.
Dia membuka kitab suci itu secara rawak. Lantas membaca ayat yang
dipilih secara rawak mengikut gerak hati. Inilah yang dibiasakannya
jika dia dalam kebuntuan dan keresahan. Ternyata hal ini biasa
menjadikannya tenang.
"Pada
hari ketika kamu melihat orang mukmin laki-laki dan perempuan, sedang
cahaya mereka bersinar di hadapan dan di sebelah kanan mereka: "Pada
hari ini ada berita gembira untukmu, syurga yang mengalir di bawahnya
sungai-sungai, yang kamu kekal di dalamnya. Itulah keberuntungan yang
besar.
Ayat ini ternyata menyejukkan mata hatinya. Syurga untuk mukmin
laki-laki dan perempuan? Tentu sekali juga untuk suami dan isteri yang
berkasih sayang kerana Allah. Bibirnya menguntum senyum sekilas. Lantas
dia membelek lagi naskah al-Quran itu mengikut kata hatinya. Dan
tangannya terhenti.
"Barangsiapa
menghendaki kehidupan sekarang , maka Kami segerakan baginya di dunia
itu apa yang kami kehendaki bagi orang yang kami kehendaki dan Kami
tentukan baginya neraka jahannam; ia akan memasukinya dalam keadaan
tercela dan terusir."
Nalurinya bergetar. Mardhiyyah merasa sungguh terkesan.
Neraka? Kehidupan sekarangkah yang kuinginkan? Mengigaukan seseorang yang bukan hak? Ah, dia jadi buntu.
Dia membelek buat kali ketiga. Saat ini air matanya semakin galak.
Gerun dengan gambaran neraka yang maha azab. Adakah selama ini dia
sudah tersasar jauh? Matanya tertancap pada Surah al-Mukmin, ayat 55:
"Maka
bersabarlah kamu, kerana sesungguhnya janji Allah itu benar, dan
mohonlah ampunan untuk dosamu dan bertasbihlah seraya memuji Tuhanmu
pada waktu petang dan pagi."
Ah, serasa pujukan Allah S.W.T itu mengena jiwanya.
Adakah aku sudah salah selama ini?
Perasaan yang suci ini adakah sudah tercemar?
Mungkinkah aku yang tidak sabar, atau akukah yang tidak yakin dengan janji Allah S.W.T?
Tangisannya semakin melebat diikuti esakan kecil. Namun, dia mencuba
menahan esakannya, kerana lampu di bahagian lelaki sudah terpasang.
Mungkin sudah ada yang datang untuk menjadi imam.
Seketika azan dilaungkan penuh syahdu. Ini suara yang kurindui
selama ini! Air matanya kembali melebat. Kenapa sekarang perlu hadir
pula.
Ya Allah, apakah maksud dari segala ini? Hatinya berkecamuk dan fikirannya berpusing.
Usai azan, suasana kembali hening. Mardhiyyah mengangkat takbir
untuk solat sunat Qabliyyah, sambil menyeka air mata yang berbaki.
Namun hatinya masih dalam kebingungan bernada riang.
Usai solat qabliyyah, masih tiada jemaah muslimat yang datang. Di
bahagian muslimin, turut senyap dan sunyi. Namun itulah fenomena
dasawarsa ini pada atmosfera kampus.
Tarbiah dan program ilmiah tidak mendapat sambutan. Namun, pada
program dan aktiviti berunsur hiburan dan liburan, sungguh ramai warga
kampus berpusu-pusu! Suatu kebobrokan intelektualisma dan insaniah!
Tiada laungan Iqamat. Aneh.
"Assalamualaikum, erm.. enti dah solat?"
Ya Allah, hatinya tersentak. Itu memang suaranya! Seseorang yang
dirindui seputar tiga empat hari ini. Dia seperti mahu menangis semula.
"Waalaikumusslam.. erm.. belum.." Mardhiyyah menjawab dengan baki suara yang ada bercampur nada serak.
"Baguslah, boleh solat jemaah bersama, sebab muslimin lain tak ada.." balasnya.
"Erm..ya.." jawab Mardhiyyah ringkas.
Entah mimpi apa, aku solat jemaah dengannya pagi itu. Bukan tidak
selalu aku solat diimamkan olehnya, namun hari ini kami berdua sahaja!
Tanpa orang lain. Hatiku berbunga bahagia. Alangkah indahnya solat
berjemaah dengan orang yang dicintai! Hanya berdua. Gambaran
rumahtangga yang sakinah dan dirahmati terapung di mindaku.
Saat Ahmad Fawwaz Auza'iy mengangkat takbir penuh ketenangan, hati
Mardhiyyah al-Hasanah diamuk perasaan yang mencengkam. Sungguh hening
keadaan tika itu. Dan tika dia mula membaca al-Fatihah, Mardhiyyah
larut dalam bacaannya yang penuh teratur.
Terasa ada hembusan yang sejuk turun dari langit dan menyentuh
ubun-ubun, lantas menyelinap ke rongga jiwa. Pada rakaat kedua, Fawwaz
membaca surah al-Fajr.
Bacaannya sungguh lembut dan mendamaikan. Sesekali ditekan,
menyebabkan sesiapa yang mendengarnya terasa syahdu, dan kelopak mata
terasa hangat, bergetar hati dengan bacaan ayat Ilahi.
Dan tiba ke beberapa potongan ayat terakhir, jiwa Mardhiyyah tersentak hebat.
Ya ayyatuhannafs al-muthmainnah,
Irji'i ila rabbiki raadhiyatan mardhiyyah,
Fadkhuli fi 'ibadi,
Wadkhuli jannati.
Hai jiwa yang tenang,
Kembalilah Kepada Tuhanmu dengan hati yang puas lagi diredhai-Nya,
Maka masuklah ke dalam jemaah hamba-hamba-Ku,
Dan masuklah ke dalam syurga-Ku.
Saat bibirnya lembut menuturkan kalimah 'Mardhiyyah',
hatiku bertambah derunya. Kalimah itu seolah-olah penuh nasihat yang
lembut. Sungguh jiwaku tidak tenang selama ini. Aku menjadi pemburu
bayang-bayang yang tidak pasti dapat kugapai. Terkadang aku ke program
dan kuliah untuk menjadi pemerhatinya yang setia.
Walau dia dekat denganku, namun boleh jadi dia bukan untukku.
Terdapat pelbagai kemungkinan yang sedia direncana oleh Allah S.W.T.
Bukankah aku sendiri yang selalu berdoa usai Ma'thurat, agar janganlah
nasibku ditentukan oleh diriku sendiri walau sekelip mata cuma.
Alangkah jika dia bukan tercipta untukku.
Alangkah. Lalu, bagaimana pula halnya dengan insan yang hak untukku nanti?
Tidak adil untuknya bukan?
Seketika itu, air mataku tambah melebat. Dan aku menghabiskan solat fajar itu dengan air mata yang aku tahan.
Begitu jua saat akhi itu berdoa tulus, muzakarah usrahku pada hari Selasa yang lepas terngiang-ngiang menerpa.
"Jikalau begitu kak Husna, berdosakah untuk berperasaan sebegitu? Ternyata itu perasaan suci anugerah Ilahi, suatu fitrah insani." Aku pura-pura bertanya secara umum.
"Ya, perasaan yang suci, bernada ujian buat hamba-Nya yang
dikasihi. Terserah untuk kita bagaimana. Yang penting, ternyata
ketenangan itu tidak ada jikalau kita terlalu menurut hawa nafsu
sendiri. Sudahnya kita kelelahan. Hindarilah dari terlalu berharap,
bimbang kecewa nanti. Bimbang jika perasaan itu memenuhi ruang lebih
dari perasaan kita pada Allah. Yang pastinya, Allah bakal mengabulkan
permintaan itu jikalau sememangnya dia pantas untuk kita. Berdoa
sahajalah yang terbaik untuk diri, walau siapapun dia. Kita tidak tahu
akan rahsia Allah S.W.T. Sesungguhnya Dia Maha Tahu apa yang tersirat,
siapalah kita yang lemah dan hina ini."
Begitupun saat akhi itu melantunkan bacaan bernada tarannum usai
solat Subuh tersebut, sedang aku menahan esak tangisku di belakang. Dan
pagi Ahad yang hening itu, aku beriktikaf di surau sehingga membawa ke
waktu Zohor.
"Pergilah akhi. Biarkan hatiku sendiri. Maafkan aku akhi. Tidak
aku sangka aku pernah senyum, menangis dan kegelisahan keranamu.
Maafkan aku wahai bakal rafiq hidupku. Walau siapapun engkau, dari mana
pun engkau, doakanlah aku di sini, untuk kuat menyimpan hati ini
padamu. Ya Allah, penuhkan cinta-Mu dalam qalbuku agar aku tidak lemas
dalam cinta yang tidak halal untuk diriku."
Hai jiwa yang tenang,
Kembalilah kepada Tuhanmu.
Dan ternyata hal itu boleh membuatkan dirinya tenang! Dan ikhlas dalam perjuangan!